Cintakan Negara Separuh Dari Iman?

Hadith Selawat 100 Kali Dapat Pahala 70 Di Dunia Dan 30 Di Akhirat

 


Hadith selawat 100 kali dapat pahala 70 di dunia dan 30 di akhirat

Matan hadith
من صلى علي فى يوم مائة مرة قضى الله له مائة حاجة :سبعين منها لآخرته وثلاثين منها لدنياه

Terjemahan
Barang siapa berselawat seratus kali dalam sehari maka Allah menunaikan seratus hajatnya. Tujuh puluh untuk hajat akhiratnya dan tiga puluh untuk hajat dunianya.

Takhrij
HR. Ibnu Najar dari Jabir seperti mana disebutkan dalam Kanzul Ummal no. 2229 dari Anas bin Malik ra. As-Suyuti dalam dalam kitab Da’ie al-Falah no. 92 menisbahkan riwayat hadith ini kepada al-Mustaghfiri. Tetapi sanad hadith ini tidak ditemui dari Ibnu Najjar dan al-Mustaghfiri. Tetapi datang dari Ahmad bin Musa al-Hafiz seperti yang dinaqalkan oleh as-Shakhawi dalam Qaul Badi’ hal. 169. As-Shakawi dan Ibnu Hajar (Lisanul Mizan 1/321) mendhaifkan sanad hadith ini, kerana perawi bernama Ibrahim Ibn As’ath adalah munkarul hadith.

Sanad kedua dari Jabir juga munkar kerana perawi bernama Abu Bakar al-Hudhali al-Basri. An-Nasaie berkata dia matrukul hadith.

Ali al-Madini berkata dia dhaif dan laisa bi syai’, dan ulama’ jarh wa ta’dil bersepakat atas kedhaifan beliau (Tahdzibut Tahdzib 12/46).

Ibn Baz menilai hadith ini tiada asal (Majmu Fatawi 8/314).

Fatwa Syabakah Islamiyah menilai hadith ini tiada asal.

Syeikh Abdul Rahman al-Sahim menilai hadith ini tiada asal.

Syeikh Thariq A’atif menilai sanadnya tidak diketahui (Syabakah Alukah no. 97536)

As-Shakhawi dalam al-Ajwabah 3/947, berkata hadith ini mempunyai syawahid hadith selawat hari Jumaat dari Annas bin Malik seperti diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Syuabul Iman 3/111, Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq 54/301 dan Ibnu Mandah dalam Fawaid hal. 82.

Uqaili dalam Dhua’fa (3/200), menilai hadith Anas tersebut batil dan tiada asal kerana terdapat perawi yang bermasalah banyak meriwayatkan hadith-hadith batil dan tiada asal bernama Hikaamah, dan Uthman bin Dinar dinilai Ibnu Hibban sebagai tidak ada apa-apa. Ibnu Hajar berkata, Uthman bin Dinar abang kepada Malik bin Dinar dan ayah kepada Hikaamah juga tiada apa-apa (la syai’) dan hadith ini satu khabar dusta (Lisanul Mizan 4/140).

Kesemua jalan (dari Jabir mahupun Anas) tidak terlepas dari perawi-perawi yang dijarh berat oleh ulama (munkarul hadith, matrukul hadith, periwayat hadith batil dan tiada asal, dusta). Menyebabkan hadith ini berstatus sangat lemah dan munkar.


Comments